Kurang sepuluh tahun dari sekarang, Kolej Melayu
akan mencecah usia 100 tahun. Umur 100 tahun mungkin tidaklah segah mana bagi
kebanyakan institusi lain, namun bagi Kolej Melayu, tempoh tersebut merupakan bayangan
awal hala tujunya dalam abad 21. Saya sendiri berpendapat bahawa kita tidak perlu menunggu
usia kolej mencecah 100 tahun untuk mencongak peranan dan pencapaiannya dalam abad akan
datang, mungkin umur 80 tahun sudah cukup untuk mendedahkan ‘kedut-kedut’ dan
‘kudis’ Kolej Melayu. Hakikatnya, Kolej Melayu kini semakin tua dan banyak pula
‘sakit tua’ yang dihidapinya. Persoalan sekarang ialah setakat mana kita mahu
menerima hakikat ini, dan setakat mana pula kita mahu mengubatinya. Saya tidak pernah
percaya bahawa pencapaian dan kegemilangan sesebuah institusi itu adalah berkadar songsang
denganaa usianya. Bagi saya, perkara sebaliknyalah yang acapkali berlaku. Lihat sahaja Eton,
kolej prestij yang pernah dianggap sebagai ‘saudara kembar’ Kolej Melayu. Eton
telah ditubuhkan sebelum kota A Famosa di Melaka didirikan, ia juga terpaksa menghadapi
cabaran sengit daripada ‘public schools’ yang lain sepanjang 500 tahun
usianya. Namun, Eton masih lagi dianggap sebagai yang terbaik, masih lagi mengeluarkan
tokoh-tokoh antarabangsa, apatah lagi barisan kepimpinan United Kingdom.
|